Pages

Ads 468x60px

Monday, September 26, 2011

AKU INGIN KITA SEPERTI..



Teman tersayang,
aku ingin kita seperti Abu Bakar As-Siddiq,
persahabatan terjalin kerana Al-Kholiq,
harta dikorban bukan sedikit,
cintakan kebenaran, sanggup bersakit.

serta tawakkal Ibrahim mulia,
ketika meninggalkan insan tercinta,
di bumi tandus tanpa bicara,
meyakini Allah sebagai Penjaga,

aku impikan antara kita seorang Umar,
berdiri tatkala tunduknya manusia,
bersuara tatkala diamnya mereka,
menggerunkan musuh durjana.

serta senyuman Syed Al-Qutb,
ketika berhadapan dengan tali maut,
akidah mantap tidak terenggut,
roh dakwahnya tidak surut.

aku ingin kita seteguh Ibnu Zubbair,
menahan panahan Hajjaj dengan rela,
bersama si ibu tua,
lantas syahid, rohnya ke syurga.

marilah kita menyemai benih Hassan Al-Banna,
fikrahnya jernih, menggegar dunia,
merelakan tubuh dimamah peluru,
demi menegakkan kalam Allah dan Rasul.

Aku cintakan pemuda Giffari,
menentang kezaliman walaupun diancam,
moga kan lahir lagi di abad ini,
jiwa jitu pemuda yang tak pernah suram.

aku ingin kita sepemaaf Yusuf,
tetap mencintai saudaranya,
walaupun dihumban ke perigi tua,
terpisah dari ayahanda bertahun lamanya.

Aku ingin pusara kita harum mewangi,
bagai harumnya pusara Masyitah,
semerbak haruman kasturi,

aku ingin persahabatan indah ini,
bisa menjadi syafaat,
di Mahkamah Mahsyar nanti.

Petikan dari Novel Tautan Hati
Fatimah Syarha Mohd Noordin

Wednesday, September 21, 2011

Cerpen: Izinkan Aku Membimbingmu..


"Jadi kita akhiri halaqoh kita malam ini dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-Asr," kata pengerusi majlis, mengakhiri sesi halaqoh malam itu.

Halaqoh malam itu berakhir jam 2.30 pagi. Agak lambat. Banyak perkara yang dibincangkan. Abu Mus'ab si murobbi menjawab banyak persoalan yang diajukan oleh keempat-empat anak halaqohnya.

Setelah bersalam-salaman, mereka lalu beransur pulang. Tiba-tiba salah seorang anak halaqoh Abu Mus'ab mendekatinya.

"Akh, ana nak bincang sesuatu dengan antum. Boleh kita bercakap sekejap?" Pinta Falah.

Abu Mus'ab agak berkira-kira. Perancangan asalnya adalah terus kembali ke biliknya untuk menyiapkan assignment yang perlu diserahkan pada esok hari. Namun segera dia teringat sebuah ungkapan oleh Fathi Yakan dalam bukunya : Al-Isti'ab - Meningkatkan Kapasitas Rekrutmen Dakwah.



Fathi Yakan mengungkapkan bahawa :

Dalam membimbing manusia kepada kebenaran, kesabaran yang tinggi diperlukan. Kerana masyarakat memiliki ragam yang pelbagai. Ada yang menganggap tiada yang lebih penting daripada kepentingan peribadinya. Orang seperti ini terkadang tidak akan berpuas hati sehingga menemui si Da'i untuk menceritakan masalahnya, tanpa memperdulikan masa dan kondisi si Da'i. Mungkin dia akan menemui tatkala kita sedang makan, ataupun ketika kita sedang tidur untuk beristirehat. Semua ini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk tetap terus membimbingnya dengan baik.

Kerana seorang Da'i yang sebenar adalah Da'i yang hidup untuk orang lain dan bukan untuk dirinya sendiri, berusaha untuk membahagiakan orang lain meskipun harus mengorbankan kebahagiaan peribadi. Semua itu dilakukan dengan sebuah keyakinan bahawa apa yang dilakukannya akan membuahkan keimanan di hati mad'unya, dan yakin bahawa apa yang diusahakannya akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT pada hari hisab.


'Apalah sangat assignment aku tu nak dibandingkan dengan membimbing Falah. Mungkin masalah dia ni penting. Insya-Allah urusan itu akan dipermudahkan. Siapa yang membantu menegakkan agama Allah, nescaya Allah akan membantunya dan meneguhkan kedudukannya.' Getus hati Abu Mus'ab.

"Em, boleh je. Jom kita bincang kat bilik antum. Lagipun dah lama ana tak ziarah bilik antum."

Lalu mereka beriringan ke bilik Falah, yang terletak beberapa meter daripada surau kolej tempat mereka mengadakan halaqoh. Setibanya di bilik,

"Alah, Richard tidurla. Kita bincang dalam gelap je la, boleh akh?" Falah keberatan untuk membuka lampu kerana khuatir mengganggu roomatenya yang sedang tidur.

"Boleh je, ana tak kisah."

Lalu mereka bergerak ke arah katil dan duduk bersebelahan. Falah menuangkan air masak ke dalam cawan dan mempelawa Abu Mus'ab untuk minum. Lalu Falah membuka ceritanya.

"Sebenarnya akh, ana dah tawar hati nak ikut halaqoh lagi. Ana rasa halaqoh tak dapat membantu ana. Bukannya ana kata antum tak bagus. Ana nampak tujuan antum nak bawa ana kembali pada Allah, ajar baca quran, jaga subuh dan dirikan tahajjud. Semua tu bagus. Tapi ana rasa ana dah tak boleh berubah. Yang ana rasa mampu ubah ana hanyalah kawan ana masa di sekolah dulu. Hazim. Dia je yang faham perasaan ana. Dia yang bantu ana untuk tinggalkan zaman jahiliyah ana. Dia je yang sanggup layan semua karenah ana. Dulu ana bukannya orang baik-baik. Semua kawan-kawan benci. Sampai ana takde kawan pun. Dia seorang je yang selalu dampingi ana. Tapi sekarang dia dah takde. Jadi ana rasa ana akan kembali kepada jahiliyyah semula. Parent ana pun tak dapat tolong ana. Selama ni diorang hanya bagi ana duit untuk makan je."


Abu Mus'ab meneguk air, lalu meletakkan cawan ke atas meja.

"Kawan antum tu dah takde, maksud antum...?"

"Dia ada, cuma dia takde kat sini la. Dia dah fly ke oversea. Dia dapat tawaran medic kat Mesir. JPA. Bukanlah dia dah takde langsung."

"Owh, ana ingat apa-apa dah jadi pada dia. Jadi antum selama ni memang bergantung harap pada dia je ke?"

"Boleh kata macam tu lah. Ana tak kesah apa orang lain kata, asalkan dia bahagia. Kalau dia suruh ana buat apa pun ana sanggup. Boleh kata ana masih nak teruskan hidup lagipun sebab dia. Ana memang pernah terfikir taknak hidup lagi dah sebab dia nak fly ke Mesir tu. Tapi fikir-fikir balik, orang yang bunuh diri ni mati masuk neraka selama-lamanya, tak jadi fikir lagi."

'Mak aih, dahsyat betul dia nih. Nampaknya Hazim tu amat penting dalam hidup dia. Tapi sayang, dia tak meletakkan prioriti yang betul dalam hidupnya. Ya-Allah, berilah aku kekuatan untuk membantunya.' Detik hati Abu Mus'ab, sambil berharap bantuan kepada Allah.

"Dia mesti seorang yang penyabar kan? Susah nak jumpa kawan yang baik macam dia. Ana pun kagum dengan kesabaran miliknya. Harap Allah beri ana kekuatan untuk jadi penyabar dan perihatin seperti Hazim. Bila dia fly?"

"Minggu lepas."

Abu Mus'ab jadi mengerti. Falah kelihatan amat muram ketika ditemui di Cafe. Tidak ceria seperti selalunya. Dan ketika halaqoh tadi, Falah amat pasif. Tidak banyak bercakap dan mengambil bahagian dalam perbincangan.


"Mesti sedih kan kawan yang kita sayang dah tak bersama kita. Tapi antum masih boleh call dia, chat ke. Sekarang ni dunia dah canggih, senang je nak berhubung. Kalau orang dulu-dulu tu kena buat isyarat asaplah, hantar burunglah, hantar nota dalam botol lepas tu campak kat laut lah. Kesian diorang."

"Hahaha..antum ni. Ade ke orang wat macam tu dulu? Tapi akh, bukan senang nak contact lagi. Mahal pulak tu."

"Betul tu. Orang yang kita sayang, takkan selamanya berada di sisi kita. Kelak dia akan pergi juga. Kalau ditakdirkan Allah mengambil nyawanya, dia tetap akan pergi. Dan kita takkan mampu terus bertahan jika kita bergantung kepada apa-apa yang tidak kekal."

"Maksud antum?"

"Maksud ana, jika kita bergantung harap kepada makhluk, kita tidak akan mampu bertahan selamanya. Kita kena ada tempat bergantung harap yang lebih kukuh. Kepada pencipta makhluk. Al-Kholiq."

"Maksudnya kita kena bergantung kepada Allah? Tapi akh, ana tak dapat rasa yang Allah membantu ana. Selama ni yang memberi perhatian, kasih-sayang, dan segala harapan pada ana, rasanya Hazim je. Dia la manusia paling baik yang ana pernah jumpa."

Abu Mus'ab mencapai cawan di atas meja dan meneguk air masak itu. Kemudian dia menghela nafas, lalu meneruskan.

"Memang selama ni kita dapat lihat yang memberi sinar dalam hidup antum tu kelihatannya Hazim. Tapi sedar tak kita, siapa sebenarnya di sebalik ini semua?"

Falah terdiam berfikir.

"Siapa sebenarnya yang mengaturkan antum akan satu sekolah dengan Hazim?" Abu Mus'ab melontarkan persoalan.

Falah ingin menjawab itu semua suatu kebetulan. Tetapi teringat akan kata-kata Abu Mus'ab dalam halaqoh yang lepas,

"Tiada kebetulan yang berlaku di dunia ini. Semuanya telah ditetapkan oleh Allah. Dalam berjuta-juta pelajar SPM 2007, hanya 500 orang sahaja yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran di universiti ini. Dan di antara 500 orang itu, hanya antum berlima sahaja yang kemudiannya terpanggil untuk hadir ke halaqoh malam ini. Kalau kita kita kebarangkalian ini akan berlaku, agak-agak berapa Falah?"

"Hurm, kalau kira-kira macam (500/1,000,000)X(5/500)=0.00005 je. Macam tak mungkin kebetulan je."

"Betul tu. Tu belum kira lagi kebarangkalian kita lahir ke dunia ni."

"Hah, tu lagi tak dapat kira. Kita adalah 1 daripada beribu juta sperma ayah kita yang bergabung dengan ovum ibu kita. Kebarangkaliannya :(1/10000000000000...) er, brapa kosong ek? Alah, senang kira 1/infiniti, kosong!" Paan mencelah.

"Tepat sekali. Pandai betul ikhwah-ikhwah halaqoh ana semester ni mengira. Ni kalau amek Probability & Statistic mesti score nih! Haa..macam Paan cakap tadi, kesimpulannya, ia bukan suatu kebetulan. Ia pasti sebuah perencanaan. Siapa lagi kalau bukan Allah yang mangaturnya. Semua itu telah tertulis di lauh mahfuz, seperti firmanNya :

Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).
[6:59]

Falah lalu dengan yakin menjawab, "Allah".

"Jadi sebenarnya Allahlah yang mahukan Falah bertemu dengan Hazim. Dan kenapa Hazim yang kemudiaannya mampu membantu Falah untuk melepasi pelbagai ujian dan cabaran? Yang memberi sinar harapan untuk Falah meneruskan kehidupan? Kenapa bukan orang lain? Boleh je kalau Allah nak Idham kawan antum tu yang berperanan sebagai Hazim, kan?" Abu Mus'ab kembali bertanya

"Em, sebab Allah yang tetapkan macam tu.." Falah menjawab ringkas.

"Jadi kalau kita selidik semula, sebenarnya siapa yang mahu Falah dibantu, dibimbing, dan ditolong?"

"Allah.."

"Siapa pula sebenarnya yang mahu Falah bahagia, merasakan ada sinar harapan dalam hidup, yang membuatkan Falah merasa dihargai dan disayangi?"

"Allah.."

"Jadi ana nak tanya, selama ni siapa yang sebenarnya menyayangi, mencintai dan membuatkan antum terus hidup hingga saat ini?"

"Allah..."




"Jadi, sepatutnya selama ini antum berubah sepatutnya kerana Allah. Kerana dialah yang memberikan kita segala-galanya yang kita ada sekarang. Badan, kaki, tangan, kepala, nyawa, bahkan perasaan yang kita milikipun sebenarnya pemberian Allah kepada kita. Allah sayang sangat pada kita akh. Kita je yang terkadang melupakanNya. Kita yang menjauhiNya."

Falah menitiskan air mata sulungnya. Bukanlah bermakna itulah pertama kalinya dia menangis, tetapi pertama kali dia menangis atas tujuan yang benar. Merasakan bahawa selama ini Allah cukup baik kepadanya. Dia menyedari yang segala apa yang ada pada dirinya di saat ini bukanlah miliknya, tetapi milik Allah.

Allahlah yang menghidupinya hingga ke saat ini.

Allahlah yang membuatkan dia tertawa, menangis, gembira dan bahagia selama ini.

Allahlah yang memberikan kepadanya segala-galanya.

Dan kini dia memahami bahawa segala yang dilakukannya perlulah dilandaskan untuk Allah. Bukan kerana makhluk Allah yang bernama Hazim. Dia malu akan pengangannya selama ini.

"Jazakumullah Khair akh. Ana faham sekarang. Ana dapat rasakan apa yang perlu dilakukan sekarang. Hidup untuk Allah. Hidup untuk memenuhi tuntutan-tuntutan Allah. Ana akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi semua perintah Allah, dan berkorban untuk Allah sebagaimana ana dulu sanggup berkorban untuk Hazim." Ikrarnya.

"Jika kita cintakan bunga, bunga akan layu. Jika kita cintakan wang, wang akan habis. Jika kita cintakan manusia, manusia akan mati. Namun jika kita cintakan Allah, Allah akan kekal selama-lamanya. Dan tiada siapa yang akan merebut Allah daripada kita. Dan tiada siapa juga akan berkecil hati jika kita menjadikan Allah sebagai kekasih kita." Abu Mus'ab mengungkapkan sebuah madah.

"Betul tu akh. Semoga lepas ni Allah akan menjadi tujuan hidup ana. Doakan Akh."

"Insya-Allah"

Falah kemudiannya memeluk Abu Mus'ab sepenuh hati. Abu Mus'ab turut menjadi terharu atas kesedaran Falah. Hatinya bersyukur dan bertahmid memuji keagungan Allah. Hatinya berdoa :

'Ya-Allah, aku cintakan hambaMu ini Ya-Allah. Satukanlah hati-hati kami dalam jalan mencari redhaMu. Jadikanlah dia mujahid yang berjuang di jalanMu. Cintailah dia sebagaimana Kaumencintai para rasulmu. Jadikanlah dia mencintaiMu sebagaimana aku mencintaiMu, malah lebih lagi Ya-Allah. Ya-Allah...perkenankanlah...'


Monday, September 19, 2011

Siapakah Penulis Yang Baik?




Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT
Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


“Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

Sunday, September 18, 2011

♥ TIPS PERKAHWINAN DARI USTAZ AZHAR IDRUS ♥


BISMILAHIRRAHMANIRRAHIM...

Alhamdulillah, kelmarin 17 September 2011, selepas Asar, diri ini berpeluang mengikuti kuliah muslimat bersama Ustaz Azhar Idrus. Alhamdulillah, mengmbil tempat duduk yang paling depan sekali, kerna ingin sekali menatap wajah ulama dari dekat. Terasa sebak di dada tika mana melihat wajah ustaz berasa kerdilnya diri ini yang sering bergelumang dengan dosa. Allahuallah. Post kat bawah ni bukan berkaitan kuliah ustaz kekmarin tapi kuliah ustaz yang sebelumnya lagi. Sekadar berkongsi, sharing is caring (^_^).


♥ TIPS PERKAHWINAN DARI USTAZ AZHAR IDRUS ♥

1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu, tetapi menikah di hadapan Allah.

4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa’kan anda, kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do’a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.

7. KETIKA RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan, tapi sebaliknya justru semakin erat berpegang tangan.

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100%

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK
Cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.

10. KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.

11 .KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita.

12. KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggungjawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.

13. KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.

Sekian.


Duhai Wanita2, anda suka lelaki yang ??
- TINGGI, atau yg tinggi imannya?
- HENSEM, atau yg hensem akhlaknya?
- TEGAP, atau yg tegap akidahnya?
- COMEL, atau yg comel ibadatnya?
- COOL, atau yg cool kesabarannya?
- PUTIH, atau yg putih hatinya?
- CUTE, atau yg cute tawadduknya?
- KAYA, atau yg kaya ilmunya?
- PEMALU, atau yg pemalu kpd dosanya?
- GAGAH, atau yg gagah melawan nafsunya?

sO, suka yg mana? pilih baik2 ye sape yg bakal jadi imam kalian.

.: JAWAPAN Jika Ditanya Tentang Perkahwinan :.

~✿> Kenapa Lambat? = Kerana Allah tahu masa yang terbaik untukku.

~✿> Dah Berpunya? = Ya.. Kerana setiap orang telah ditetapkan jodoh masing2.

~✿> Siapa? = Nanti Allah akan perkenalkan kepada semua.

~✿> Bila? = Bila kami sudah disatukan.. InsyaAllah jemput datang ke Walimatul urusku nanti (✿◠‿◠)

Tuesday, September 13, 2011

CINTA RASULULLAH PADA ANAK KECIL..



BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..


Dalam mencontohi sifat dan didikan dalam bidang kekeluargaan, ramai orang suka mencari dan melihat kaedah terkini dalam didikan anak samada secara islamis ataupun secara teori-teori tokoh-tokoh pemikir falsafah.

Bagi diriku, aku lebih senang melihat didikan dan pesona yang terhasil dari kaedah Nabi s.a.w. sebelum dimodifikasi oleh kaedah lain sebagai penambah baikan mendidik anak di zaman yang serba kemerosotan moral dan akidah. Bukankah pada Rasulullah S.A.W itu terapat suri teladan terbaik?? Anak-anak itu ibarat kain putih, yang suci lagi bersih tanpa noda ketika dilahirkan. Sungguh suci fitrahnya, sungguh menenangkan bila melihatnya saja, dapat mendamaikan hati yang resah. Allahuallah., hebatnya kanak-kanak itu. Dengan melihat telahannya saja, jiwa yang sarat dengan masalah dapat hilang segera.

Islam adalah jalan hidup yang lengkap, tidak ada satu aspek hidup pun yang tanpa arah dan tujuan. Justeru, tanggung jawab sebagai ibu bapa muslim adalah menanamkan rasa cinta kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Inilah kewajipan yang menjadi penyelamat bagi seisi keluarga daripada azab Allah di dunia dan di akhirat kelak.



Rasulullah s.a.w sangat baik kepada anak-anak dan sangat mengasihi mereka. Baginda s.a.w suka mengusap kepala anak-anak dan mendoakan untuk mereka. Apabila ada anak-anak yang mendekati baginda, baginda akan mengendong dan menunjukkan perasaan yang kasih sayang kepada mereka. Kadang-kadang, baginda akan menjulurkan lidahnya agar kana-kanak gembira dan tertawa melihat teletahnya.


Apabila baginda berbaring, baginda akan memerintahkan agar si anak duduk di kaki atau dada baginda.
Apabila ada beberapa orang kanak-kanak, baginda akan memerintahkan agar mereka mebentuk barisan, kemudian baginda merentangkan tangannya, dan bersabda, “Larilah ke mari, siapa yang paling cepat menyentuhku, akan memperoleh hadiah.” Kanak-kanak pun akan berlari kepada baginda. Beberapa anak akan jatuh ke dada dan yang lain akan jatuh ke perut baginda. Kemudian baginda akan memeluk dan mencium mereka.


Ada ketikanya, apabila baginda bertemu dengan kanak-kanak, baginda akan menyalami mereka, meletakkan tangan baginda di kepala mereka, dan mengendong anak kecil. Baginda akan mudah rasa terharu apabila melihat seorang ibu yang mencintai bayinya. Pernah beliau bersabda, “barang siapa yang dikurniakan anak-anak oleh Allah s.w.t., dan dia mencintai anak-anaknya, dan juga menunaikan kewajipan terhadap mereka, maka dia akan selamat dari neraka jahannam.”



Apabila Rasulullah s.a.w. bertemu kanak-kanak ketika pulang dari perjalanan, baginda akan mengangkat mereka dengan penuh kasih sayang kemudian mendudukkan mereka di depan ataupun di belakang mereka di depan atau pun di belakang beliau di atas unta. Kanak-kanak juga sangat mencintai baginda.



Begitu kanak-kanak melihat baginda, mereka akan berlari kepada beliau. Baginda akan mengangkat mereka satu persatu dan mencium mereka, baginda akan memberi kurma ataupun buah-buahan segar yang lainnya.



Apabila Rasulullah mendengar seorang bayi yang menangis, baginda akan memendekkan solat jemaah ketika menjadi imam, agar ibunya akan menjadi tenang. (Khasail Nabawi)



Ketika air mata Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Salam menetes disebabkan kematian putra beliau bernama Ibrahim, Abdurrahman bin ‘Auf Radhiallaahu anhu bertanya kepada beliau: “Apakah Anda juga menangis wahai Rasulullah?” Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Salam menjawab: “Wahai Ibnu ‘Auf, ini adalah ungkapan kasih sayang yang diiringi dengan tetesan air mata. Sesungguhnya air mata ini menetes, hati ini bersedih, namun kami tidak mengucapkan kecuali yang diridhai Allah SWT. Sungguh, kami sangat berduka cita berpisah denganmu wahai Ibrahim.” (HR. Al-Bukhari).



Kasih sayang tersebut tidak hanya terkhusus bagi kerabat beliau saja, bahkan beliau curahkan juga bagi segenap anak-anak kaum muslimin. Asma’ binti ‘Umeis Radhiallaahu anha –istri Ja’far bin Abi Thalib- menuturkan: “Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Salam datang menjengukku, beliau memanggil putra-putri Ja’far. Aku melihat beliau mencium mereka hingga menetes air mata beliau. Aku bertanya: “Wahai Rasu-lullah, apakah telah sampai kepadamu berita tentang Ja’far?” beliau menjawab: “Sudah, dia telah gugur pada hari ini!” Mendengar berita itu kamipun menangis. Kemudian beliau pergi sambil berkata: “Buatkanlah makanan bagi keluarga Ja’far, karena telah datang berita musibah yang memberatkan mereka.” (HR. Ibnu Sa’ad, Tirmidzi dan Ibnu Majah).


Malah, sepanjang hidup baginda, Rasulullah s.a.w. sama sekali belum pernah memukul, bersikap kasar, kejam, ataupun bersikap diam terhadap kanak-kanak. Baginda sangat sedih terhadap tingkah laku orang Arab jahiliah yang biasa mengubur hidup-hidup anak perempuan mereka semata-mata ingin menjaga martabat mereka. Ketika di Aqabah, orang Arab bersumpah setia tidak akan membunuh anak-anak perempuan lagi. Sejak itu, perbuatan keji itu diberhentikan.


Telah kita saksikan bersama keutamaan akhlak dan keluhuran budi pekerti serta sejarah kehidupan yang agung. Semoga semua itu dapat menghidupkan hati kita dan dapat kita teladani dalam mengarungi bahtera kehidupan. Putra-putri yang menghiasi rumah kita, selalu mengharapkan kasih sayang seorang ayah serta kelembutan seorang ibu. Mendambaan belaian yang membuat hati mereka bahagia. Sehingga mereka dapat membesar dengan pribadi yang luhur dan akhlak yang lurus. Siap untuk memimpin umat, sebagai buah karya dari para ibu dan bapak, tentu saja dengan taufik dari Allah Subhannahu wa Ta'ala.

WALLAHUALAM...

Monday, September 12, 2011

PASTI AKU MEMILIH YANG KEDUA..~



Seandainya aku disuruh memilih di antara harta yang banyak atau kedudukan yang tinggi dengan jiwa tenteram yang damai dan selalu tersenyum, pastilah aku memilih yang kedua. Sebabnya ialah:

  • Apalah ertinya pangkat dan kedudukan sekiranya jiwa sering cemas?
  • Apalah ertinya segala yang ada di dunia ini, bila perasaan sering sedih seumpama orang yang baru sahaja selesai menghantar jenazah kekasihnya 
  • Apalah erti kecantikan seorang isteri sekiranya berwajah suram dan hanya membuatkan suasana rumahtangga seperti sebuah neraka sahaja? Tentulah, seorang isteri yang tidak terlalu cantik akan menjadi seribu kali lebih baik sekiranya dia mampu menjadikan suasana rumah tangganya laksana syurga setiap saat.



Senyuman tidak akan berharga sekiranya tidak terbit dari hati yang tulus dan untuk menutupi perangan yang tidak baik. Lihatah setiap bunga yang tersenyum, hutan yang tersenyum, sungai dan lautan, langit, bintang-bintang dan burung-burung semuanya tersenyum.



Dan manusia, sesuai dengan watak dasarnya, adalah makhluk yang suka tersenyum jikalau dalam dirinya tidak menonjolkan penyakit TAMAK, JAHAT dan EGOISME yang sering membuat raut wajah nampak kusut dan muram. Raut wajah seseorang adalah bisikan gambaran keadaan jiwanya. Oleh kerana itu, tidak akan nampak keindahan dari orang yang hatinya kotor.
( DR 'AIDH AL-QARNI)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...