Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 27, 2011

SYIRIKKAH KITA??


Kita memang sudah mengelak daripada menyembah tokong dan berhala, tetapi bagaimana pula dengan penyembahan manusia kepada 'berhala-berhala' hati? Itulah bahayanya syirik khafi yang tersembunyi di dalam hati.

Kita begitu yakin dan mengakui masih kebal iman dalam diri dan sama sekali tidak syirik terhadap Allah SWT apabila tidak pernah menyembah berhala dan apa jua dewa. Sebabnya perbuatan tersebut sudah diketahui umum boleh menyebabkan seorang Muslim menjadi murtad dan keluar dari Islam. Mudahnya, kebanyakan masyarakat Islam meletakkan perkara itu sebagai sempadan dari terjadinya hal yang merosakkan keimanan. Dan ada juga yang faham, hanya perbuatan sedemikian sahaja boleh sebabkan syirik.

Itu syirik jali yang setiap umat Islam cuba elak daripada melakukannya. Tetapi dalam berjaga-jaga itu, syirik khafi atau syirik tersembunyi sebenarnya dilakukan setiap hari oleh kebanyakan orang Islam. Kita memang sudah mengelak daripada menyembah tokong dan berhala, tetapi bagaimana pula dengan penyembahan manusia kepada 'berhala-berhala' hati? Itulah bahayanya syirik khafi yang tersembunyi di dalam hati. Ini terjadi dan dilakukan samaada kita sedari atau dilakukan didalam keadaan tidak sedar.

Menurut penerangan para Arifin Billah (pakar agama), antara sembahan-sembahan hati yang paling lumrah bagi manusia ialah:

i) penyembahan kepada nafsu/diri sendiri
ii) penyembahan kepada dunia dan perhiasannya
iii) penyembahan kepada pangkat dan kekayaan
iv) penyembahan kepada kedudukan dan jawatan
v) penyembahan kepada wanita
vi) tawakal kepada kekuatan diri atau kekuatan makhluk
vii) tawakal kepada kehebatan sains dan teknologi dan lain-lain

Segelintir umat Islam menganggap syirik khafi sebagai perkara kecil sahaja. Namun pandangan sebeginilah yang mengundang bahaya yang lebih besar. Menurut tafsiran ulama-ulama tasawuf, syirik khafi walaupun tidak membatalkan iman namun memberi kesan kepada amal dan boleh merosakkan keimanan jika dibiarkan berlaku dan menjadi pakaian umat sehari-hari.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Syirik yang dilakukan umat ku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu yang besar." (Riwayat Al Hakim)

Penyembahan kepada berhala-berhala hati ini juga menyebabkan manusia menjadi bongkak dan riak tanpa disedari. Terlalu yakin terhadap kelebihan diri sendiri. Perbuatan sebegini sebenarnya mengundang resah kepada Rasulullah sebagaimana sabdanya:

"Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riya'.

Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman,

"Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia.
Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?" (Riwayat Imam Ahmad)

Benar dalam kehidupan, kita selalu memandang hal yang besar tanpa mempedulikan perkara-perkara kecil. Namun perlu diketahui yang kecil dan halus itulah lebih mudah menyerang dan merebak sehingga akhirnya kita terperangkap tanpa sedar. Sungguhpun syirik khafi tidak membatalkan iman seseorang, tetapi jika dibiarkan ia boleh mencederakan tauhid dan pengesaan terhadap Allah.

Jangan terlampau yakin bila kita tidak pernah menyembahkan tuhan lain selain Allah, kita bebas dari melakukan syirik. Ketahuilah bahawa perjuangan melawan sifat-sifat jahat dalam hati terutamanya syirik khafi adalah jihad sepanjang hidup. Jangan terhenti dari jihad ini kerana sejarah telah membuktikan manusia-manusia alim juga boleh tewas dengan rayuan iblis dan syaitan. Sehingga hati dan iman menjadi binasa.

Oleh itu berhati-hatilah dengan perbuatan, pengungkapan serta kata hati kita setiap hari. Apa jua yang terjadi dan berlaku semuanya atas kehendak dan kuasa Allah SWT jua. Bukan atas kehebatan dan keupayaan diri sendiri, benda mahupun makhluk lain yang sebenarnya tidak punya kuasa apa-apa!



Bentuk-Bentuk Syirik Khafi


Terlalu banyak syirik khafi berlaku meliputi diri kita sendiri atau yang bersangkut dengan makhluk lain. Kebanyakannya berlaku dalam keadaan kita lalai daripada mengingat Allah.

1) Bergantung Hati Kepada Sesuatu Selain Allah

Syirik khafi jenis ini sangat lumrah dalam urusan kehidupan seharian. Apabila seseorang melihat dirinya melakukan ibadah yang banyak,atau melihat dirinya mempunyai kebijaksanaan dan kehebatan sehingga berjaya memperoleh suatu kebaikan.

Atau menyandarkan sesuatu kebaikan yang diperoleh disebabkan manusia lain atau benda lain yang di jadikan oleh Allah seperti ubat-ubatan atau ketinggian sains dan teknologi dan sebagainya.

Contoh 1 :
Seorang lelaki yang telah sembuh dari sakit, merasakan ubat yang dimakan itulah yang menyembuhkan penyakitnya.

Contoh 2 :
Seorang Pengarah Syarikat yang berjaya membawa kejayaan kepada syarikat merasakan kejayaan tersebut dicapai hasil usahanya dan dibantu oleh pekerja-pekerja lain.

2) Ujub

Menurut pengertian yang diberi oleh Imam Al-Ghazali ;

"Ujub adalah rasa hairan dengan diri atau membanggakan diri atau merasai aman dengan adanya suatu kelebihan nikmat pada diri seseorang. Terjadi 'ujub adalah didalam hati, tanpa terzahir sifat rasa bangga dirinya pada tingkah laku atau perkataan."

Contoh 1 :
Seorang melakukan solat larut malam lalu berkata di dalam hati, " Hairan aku dapat melakukan ibadat yang begitu banyak."

Contoh 2 :
Seseorang wanita yang cantik berasa betapa hebatnya diri dengan kecantikan tersebut.

3) Riya'
Riya' dalam beramal adalah melakukan sesuatu amal atau kebajikan dengan niat mendapat pujian makhluk atau bertujuan mendapat pangkat dan kedudukan.
Tiga keadaan berlaku Riya' pada hati seseorang yang melakukan beribadat/melakukan kebajikan.

Niat hati seseorang perlu di awasi pada 3 keadaan ketika beramal.;
1) Pada permulaan melakukan ibadat.
2) Ketika sedang melakukan ibadat.
3) Setelah selesai melakukan ibadat.

Kebanyakan orang beramal biasanya ikhlas pada permulaan ibadatnya. Tetapi gangguan riya' datang ketika sedang beramal atau sesudah beramal. Dengan demikian seseorang wajib berhati-hati dengan bisikan syaitan yang sentiasa cuba mewaswaskan hati supaya berubah niat.

4) Takabbur (Membesarkan Diri)
Takabur adalah membesarkan diri, merasai diri lebih hebat, lebih mulia, lebih tinggi dari orang lain. Sifat ini lahir dari hati dan ada kalanya terzahir dalam perkataan dan perbuatannya.

Takabur adalah mencabar kekuasaan Allah : Sabda Rasulullah SAW, Firman Allah idalam Hadis Qudsi,
"Takabur itu selendangku dan Kebesaran itu kain sarung Ku. Maka barang siapa bertengkar dengan Aku pada salah satu dari yang dua itu, nescaya Aku campakkan dia dalam neraka jahannam. Dan Aku tidak pedulikan." (Riwayat Muslim)

Punca wujudnya takabur pada diri seseorang adalah disebabkan wujudnya suatu kelebihan atau dia merasa kesempurnaan berbanding manusia lain.
1. Takabur dengan Ilmu.
2. Takabur dengan Amal
3. Takabur dengan tubuh badan – kecantikan, kekuatan dan lain-lain
4. Takabur dengan harta, anak dan kekayaan dunia.
5. Takabur dengan banyak pengikut
6. Takabur dengan kemuliaan keturunan.
7. Takabur dengan kekuasaan

*P/S- marilah sama2 kita kembali kepada Allah Rabbul 'alamin, istighfar dan memohon ampun atas kesalahan kita..=(..astaghfirullahal'azim allazi la ilaha illallah huwalhayyul qayyum wa atubu ilaih...

http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat

Monday, January 24, 2011

UJIAN ADALAH TARBIYAH..


Ujian adalah tarbiyah, ujian adalah tanda kasih sayanq kepada hamba-Nya. Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertantu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula telatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.

Allah Maha Pengasih; jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan. Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya.

Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau
lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu).

Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita.

Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya
kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa.

Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.
Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah
diterimanya.

Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi. Ujian ini sangaja didatangkan agar terasalah kita ini lemah; tiada kuasa untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa
bangga diri. Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya.

Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah.

Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang bermaksud:


“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”


Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:

“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.”


Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak! Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka.

Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab:


“Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”


Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji
kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan.

Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji….

Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya. Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia
tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah dirotan. Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih.

Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita.Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan.
Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah. Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika diuji?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...