Pages

Ads 468x60px

Showing posts with label TARBIYAH. Show all posts
Showing posts with label TARBIYAH. Show all posts

Monday, September 19, 2011

Siapakah Penulis Yang Baik?




Penulis yang baik adalah yang penulisannya memberikan kesan kepada jiwa insan. Seterusnya, penulis itu mampu menjadi inspirasi, contoh, qudwah kepada pembacanya.

Akhirnya sekali, dia tidak akan hanya tersekat dalam alam penulisan, bahkan di alam realiti dia tetap mampu menjadi satu model kepada ummat.

Penulis Yang Terbaik

Tips 1: Hubungan Dengan Allah SWT
Ya, hubungan dengan Allah SWT. Seorang yang hendak menjadi penulis yang terbaik perlulah menjaga hubungannya dengan Allah SWT. Mencintai perintah-Nya dan melaksanakannya. Membenci kemungkaran ke arah-Nya dan mencegahnya. Tidak melekatkan diri kepada apa yang Allah murka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti diri di hadapan-Nya.

Kenapa hubungan dengan Allah SWT itu diletakkan yang pertama?

Banyak sebab. Tapi, antara sebab yang utama adalah, kita hendak menulis sesuatu yang memberi kesan pada jiwa insan. Justeru, apakah logik kita tidak meminta kepada Yang Membolak Balikkan Jiwa Insan? Kita perlu sedar bahawa, Allahlah TUAN kepada Hidayah. Bukankah adalah perkara yang normal kita tunduk kepada-Nya agar dia membantu kita? Sedang kita ini tidak mampu memberikan hidayah walau kepada orang yang kita cintai.


“Sesungguhnya kau tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang kau cintai, tetapi Allah lah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang dia kehendaki…” Surah Al-Qasas ayat 56.

Tips 2: Kerendahan Hati
Seorang yang ingin menggerakkan dirinya menjadi penulis yang baik, perlulah mendidik jiwa dan hatinya untuk sentiasa rendah. Rendah di sini adalah merasa kerdil di hadapan Allah SWT. Ini untuk menjaga keikhlasan, mengelakkan diri dari riya’, ujub, takabbur.
Riya’, ujub, takabbur, semua itu adalah hijab dalam amalan. Ia membuang keberkesanan penyampaian kita. Sifat-sifat mazmumah itu akan menyebabkan perjalanan penulisan kita juga terpesong. Nanti kita akan rasa cepat hendak membantah pendapat orang lain, tidak boleh ditegur, rasa senang nak menyalahkan orang dan sebagainya.

Kerendahan hati sangat penting dalam menjamin kebersihan perjalanan penulisan kita.

Apakah hati yang hitam mampu mencahayakan hati yang lain?

Tips 3: Dahagakan Ilmu
Kita tidak mencari ilmu seperti orang yang sudah kekenyangan. Maka kita akan rasa malas untuk menambah ilmu apabila kita rasa diri kita sudah penuh. Seorang penulis perlu sentiasa merasakan dirinya tidak cukup. Maka dia akan bergerak untuk mengisi dirinya dengan pelbagai ilmu.

Ilmu penulisan, ilmu-ilmu asas kehidupan, ilmu bahasa, ilmu realiti, dan bermacam-macam ilmu lagi.

Penulis perlu sedar bahawa, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa.

Maka seorang penulis perlu mempunyai ‘apa-apa’ untuk menulis.

Amatlah penting bagi seorang penulis untuk mengekspansikan capaian ilmunya. Ilmu bukan sekadar di dalam kelas, di dalam buku teks. Bahkan seluruh kehidupan ini mampu dijadikan sumber ilmu pengetahuan. Semuanya boleh diambil dan diterjemahkan kepada idea.

Banyak membuat kajian, banyak membuat pembacaan, banyak bertanya, banyak memerhati dan banyak berfikir. Ilmu-ilmu yang berjaya diraih, insyaAllah akan mampu menjadi ‘trigger’ kepada idea.

Tips 4: Disiplin

Tidak akan mampu seseorang itu menjadi penulis yang terbaik tanpa disiplin. Perlu ada disiplin dalam menulis. Perlu juga ada disiplin dalam mengimbangi kehidupan sebagai penulis dan sebagai pelajar, pekerja, anak, bapa, ibu dan sebagainya.

Sebab itu, apa yang saya selalu lakukan dalam hal disiplin ini adalah JADUAL.

Susun waktu. Sesungguhnya Allah tak akan memberikan manusia 24 jam sekiranya 24 jam itu tidak cukup untuk manusia. Tetapi manusialah yang tidak menggunakan 24 jam itu dengan sebaik-baiknya. Sebab itulah kita sering merasakan kita tidak mampu melaksanakan kerja.


Tips 5: Istiqomah
Seorang penulis yang terbaik itu, mencapai tahapnya yang tertinggi adalah apabila dia istiqomah. Bukannya bila pelawat website, blog sudah mencapai juta, dia mula bermalas-malasan.

Orang kata, hendak menjadi juara itu tidak sesusah hendak mengekalkan kejuaraan.

Penulis yang mampu menjadi contoh adalah penulis yang istiqomah.

Istiqomah dalam penulisannya. Istiqomah pula dalam menjaga peribadinya dalam menjadi qudwah kepada ummah.

Penutup

Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok,tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.

Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penlisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.


~Hilal Asyraf ~

ms.langitilahi.com

Wednesday, April 13, 2011

JANGAN KAU TANGISI PERKARA YANG BUKAN MILIKMU


“Janganlah bersedih atau runsing dengan sesuatu yang bukan milikmu.”


Saudara yang dihormati sekalian,

Kita hanyalah disuruh berusaha bukan mengharap hasil balasan atas apa yang diusahakan di dunia kerana akhiratlah nanti baru merupakan hari pembalasan bukan sekarang ini di dunia.

Di dalam kehidupan ini kita sering menghadapi kekecewaan apabila kebaikan yang dilakukan tidak mendapat balasan yang setimpal.

Namun apabila kita sedar bahawa dunia ini bukanlah milik kita dan setiap sesuatu yang wujud di sisi kita hanyalah sebagai pinjaman yang sementara yang akan kita tinggalkan maka dengan izin Allah kita akan mampu untuk berasa tenang dan merasai bahagia.

عَنْ ابْنِ عُمَرْ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ : أَخَذَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِمَنْكِبَيَّ فَقَالَ : كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ . وَكاَنَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ : إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ . (رواه البخاري)

Daripada Ibnu Umar ra yang menyebut bahawa rasulullah pernah memegang bahunya lalu bersabda :

“Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara.”

Lalu Ibnu Umar berkata :

“Jika engkau di waktu petang maka janganlah engkau menunggu sehingga waktu pagi dan jika engkau di waktu pagi maka janganlah menunggu waktu petang tetapi pergunakanlah waktu sihatmu sebelum kamu menjadi sakit dan waktu hidupmu sebelum kamu mati.”
( Hadis riwayat Bukhari)

Kewajipan kita tersangatlah banyak, sedangkan masa kita pula adalah tersangat terhad maka oleh kerana itu janganlah kita membuang masa, waktu dan tenaga untuk bersedih kepada sesuatu yang bukan milik kita dan tidak pula menjadi beban tanggungjawab kita.

Kurangkanlah beban di dalam hidup.

Sebaik-baik perkara di dalam Islam ialah meninggalkan apa yang tidak perlu untuk bekalan kita di hari akhirat. Sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dari riwayat Abu Hurairah ra yang bermaksud :

“ Sebaik-baik perkara di dalam Islam ialah seseorang itu meninggalkan apa yang tidak perlu baginya.”
(Hadis hasan, riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Cinta yang melalaikan, kasih yang menghampakan, rindu yang tidak berbalas serta pelbagai lagi punca kesedihan hati hendaklah dihapuskan oleh kesibukkan beramal, kerja gigih dan usaha yang berlipat kali ganda untuk mengumpul bekal dan amalan bagi menghadapi kedahsyatan hari akhirat.

Firman Allah SWT :

“Pada hari itu (Hari Kiamat) Seseorang itu akan lari daripada saudaranya, ibu serta bapanya, isteri serta anak-anaknya. Kerana tiap-tiap seorang daripada mereka itu pada hari tersebut akan disibukkan dengan urusan dirinya sendiri sahaja.”

(Surah Abasa : 33-37)

dari blog: http://ustaz.blogspot.com

Sunday, March 20, 2011

AIR MATA..='(




Menangis, kadang sulit dilakukan, walaupun sejak lahir manusia sudah terbiasa menangis. Sulit dilakukan saat dalam lapang dan bahagia. Ketika ada bencana, ujian, musibah, baru mata setitis demi setitis mengalirkan air mata, yang kadang entah untuk apa? dan tanpa makna.

"..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." (An Najm : 43)



TANGISAN DAPAT MEMADAMKAN API NERAKA


Pernahkah kita menitiskan air mata saat terlintas siksaan Allah? azabnya yang begitu pedih, neraka yang menyala-nyala?, mungkin tidak, atau jarang sekali.

Padahal "Mata yang menangis di tengah keheningan malam kerana takut kepada Allah, tidak akan tersentuh api neraka", begitu sabda Rasulullah SAW dalam hadis Hasan riwayat Al-Tirmidzi.


Nasihat Abdul Wahid bin Zaid:

"Wahai saudaraku-saudaraku sekalian, tidakkah kalian menangis kerana rindu kepada Allah. Bukankah sesungguhnya orang yang menangis kerana takut kepada neraka akan dilindungi Allah dari neraka tersebut?



Benar, menangis boleh menyelamatkan kita dari jilatan api neraka. Di dalam hadis Abdurrahman bin Samurah, Nabi saw, bersabda:

"Suatu malam aku bermimpi, kemudian Nabi menyebutkan hadis dengan redaksi yang sangat panjang. Salah satu isinya adalah sabda baginda: "Aku telah melihat seorang laki-laki dari umatku di pinggir neraka jahannam, kemudian dia dihampiri oleh rasa takut (yang dia miliki) kepada Allah. Amal itu (rasa takut kepada Allah) akhirnya menyelamatkannya dia dari api neraka Jahannam. Dan Aku Melihat ada seorang lelaki dari umatku terjatuh ke dalam neraka. Akan tetapi dia didatangi oleh titisan air matanya (yang menitis) kerana takut kepada Allah. Maka air mata itupun mengeluarkan dia dari api neraka."



"Rasulullah saw bersabda :
Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."



Air mata taubat Nabi Adam a.s. Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendonggak ke langit tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan.Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir di jurang Serandip. Dari air matanya itulah Allah telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih.Beberapa ekor burung telah meminum akan air mata Adam lalu berkata, "Manis sungguh air ini." Nabi Adam terdengar lalu menyangka burung itu mempersendakannya lalu ia memperhebatkan tangisannya.

Lalu Allah mendengar dan menerima taubat Adam dan mewahyukan, "Hai Adam sesungguhnya belum Aku pernah menciptakan air lebih lazat daripada air mata taubat mu!."


Junjungan Mulia bersabda "Ada 2 biji mata yang tak tersentuh api neraka, mata yang menangis di waktu malam hari kerana takut kepada Allah swt dan 2 biji mata yang menjaga pasukan fi sabillah di waktu malam."


Oleh itu, jangan sia-siakan airmata hanya untuk menangisi sesuatu yang tak abadi, menangislah kerana takut akan siksaan dan azab Allah SWT, jauhilah kemaksiatan, mohonkan ampunan kepada Allah. Titisan air mata yang mengalir sekarang akan menjadi embun penyejuk pada hari perhitungan kelak, maka menangislah saudaraku, agar selamat..!InsyaALLAH


Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

1) "Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, 2)Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, 3)Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan
4)dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."



~Hargailah AIR MATA:

::setitis air mata yang jatuh kerana keinsafan adalah 1000 kali lebih baik daripada sejuta mutiara di lautan, sesaat bersedih kerana REDHA dengan Allah adalah lebih mulia dari seharian bersedih kerana cinta manusia, sejernih wuduk yang sempurna lebih bercahaya daripada kilauan segunung permata, sesuci hati kerana ILLAHI itulah hakikat cinta abadi::

Monday, January 24, 2011

UJIAN ADALAH TARBIYAH..


Ujian adalah tarbiyah, ujian adalah tanda kasih sayanq kepada hamba-Nya. Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertantu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula telatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.

Allah Maha Pengasih; jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan. Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya.

Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau
lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu).

Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita.

Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya
kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa.

Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.
Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah
diterimanya.

Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi. Ujian ini sangaja didatangkan agar terasalah kita ini lemah; tiada kuasa untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa
bangga diri. Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya.

Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah.

Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang bermaksud:


“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”


Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:

“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.”


Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak! Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka.

Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab:


“Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”


Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji
kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan.

Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji….

Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya. Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia
tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah dirotan. Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih.

Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita.Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan.
Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah. Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika diuji?

Saturday, November 13, 2010

aku rindu, aku cinta kepadamu..





Bismillahirrahmanirrahim..


sukar untukku meluahkan apa yg terbuku di dada ku..
tapi yg satu ini ku yakin bahawa aku sangat MERINDUIMU,
aku sangat MENCINTAIMU wahai kekasih hati, pengarang jantungku..
aku minta maaf, andai ungkapanku ini tidak layak untuk insan sehebat kau,
tapi percayalah hati ini tidak menipu..
dimana terciptanya cinta, distulah rindu bermula..
kau insn hebat, kau insan istimewa,
aku sangat mengagumi keperibadianmu,.
sangat memikat pada semua manusia..
wajahmu yg sangat kernih,
lebih bersinar dari bulan purnama..
semangatmu yang kental,
kesabaranmu yang tinggi dalam menegakkan kalimah Tauhid di muka bumi ini..
membuatkan aku terlalu menyanjungi dirimu,.subhanallah..
tapi..
wahai kekeasih hatiku,
aku sangat merasakan sebak di dada,
perjuanganmu dalam menegakkan kalimah Tauhid..
begitu kental kau dalam menyebarkan dakwah-Nya..
walu dirimu dihina,
bersihnya dan mulianya hatimu,
tetap senyum bila dibenci,
tetap tenang bila dimusuhi,
tetap membantu walau disakiti,
tetap meyeru walau diusir pergi..
ketaqwaan dan keimanan yang tinggi,.
tapi aku sebaliknya..
aku mudah benci bila dikasari,
mudah putus asa bila yang dilakukan tidak menjadi,
mudah kecewa bila orang lain tak memahami,
mudah terguris bila dinasihati..
begitu lemah aku..
tapi aku yakin..
keasabaran dan kesyukuran menajdi benteng jiwa..
untuk berjuang mencipta impian..
akn ku pesan kepada diri ini..
yang segalanya kepunyaan Allah..
jangan jadi da'ie yang malang,
yang hanya tahu berdakwah tapi tak melaksanakan,
jangan jadi 'abid yang tertipu,
terasa banyak sudah amalan tapi..
tak sedar pahala itu kuasa Allah..
semuanya adalah rahmat kasih sayang-Nya..
jangan jadi 'alim yang tertipu,
disangka ilmu telah banyak tapi tiada yang terkesan di jiwa..
jangan jadi mujahid yang tertipu,
disangka perjuangan itu yang terbaik tapi..
ternyata ISLAM tak memerlukannya..
tapi diri ini sebenarnya yang memerlukan ISLAM..
jangan biarkan diri ini tewas bila ISLAM menang,
tapi biarkan diri ini menang walau ISLAM tewas..
percayalah, cahaya agama Allah itu tak pernah padam..
yakinlah diriku..
kau mampu ulangi sejarah kebangkitan islam..
teruskanlah sunnah berjuang dari insan yang ku cintai dan rindui,.
iaitu si dia INSAN MULIA..
RASULULLAH S.AW...

Tuesday, October 26, 2010

pandai main GEAR

Sebagai sebuah agama yang membawa manusia menuju kepada Allah SWT kita boleh memperumpamakan Islam itu seperti kereta. Oleh itu seperti lazimnya sebuah kereta ia bergerak melalui kawalan pemanduan yang dilakukan oleh pemandu. Laju, perlahan, ke kiri atau ke kanan pergerakan sebuah kereta itu ditentukan oleh pemandunya.

Siapa lagi pemandu Islam jika bukan para ulama dan pendakwah.

Pendakwah yang membawa dan memandu agama ini menuju Allah SWT perlu pandai mengawal kereta dan menggunakan gear kereta kerana setiap kereta itu bergerak mengikut kelajuan yang ditentukan oleh gearnya.

Rosak kereta jika tidak pandai menggunakan gear

Kereta yang dipandu tanpa pengendalian gear yang baik akan boleh merosakkan kereta dan membahayakan nyawa pemandu dan penumpang kereta tersebut. Jalan yang lurus dan lapang seperti lebuhraya bolehlah digunakan gear 5 tetapi masakan jalan kampung atau kawasan sekolah juga mahu dipasang gear 5 ? Habislah mati anak ayam dan anak orang yang melintas di jalanan.

Jalan pula tak selamanya indah, dengan lopak yang berlubang, berbonggol-bonggol dan ada kalanya berbengkang bengkok maka gear rendah seperti gear 1 dan 2 perlu digunakan.

Khasnya apabila menaiki jalan yang berbukit atau ketika sedang menuruninya.

Itulah Islam, ia umpama alat yang membawa manusia kepada Allah SWT. Namun pemanduan dan pengendaliannya di tangan kita.

Firman Allah yang bermaksud : “Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan oleh kerana perbuatan tangan manusia itu sendiri, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar-Rum : 41)

Harus tahu bagaimana membawanya. Umapama ketika waktu ujian dan kesempitan maka gear yang rendah harus digunakan kerana bimbang jika ada tindakan kita di dalam dakwah yang dibuat kerana tertekan, geram dan bagi melepaskan amarah.

Begitulah jua ketika di waktu senang dan ketika sedang menerima nikmat. Kita harus bimbang apakah takala kita menerima imbuhan wang ringgit dan jawatan daripada raja atau pemerintah maka fatwa dan dakwah yang kita serukan itu dibuat kerana pengaruh kesenangan atau kerana keseronokan ?

Perlahan-lahan dan berhati-hati dalam tindakan sambil melakukan muhasabah dan mengoreksi diri itulah namanya gear rendah.

Allah SWt befirman yang bermaksud : “Orang yang diredhai oleh Allah dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.” (Al-Anbiya: 28)

“Sesungguhnya orang-orang (yang beriman itu ialah) yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka.”(Al-Mukminun : 58)

Kita hanyalah manusia, seringkali kerana ghairah dan gembira maka kita memecut laju di jalanraya sehingga terlupa di atas jalan manakah kita berada. Apakah jalan itu berbukit ? Jalanraya ? lebuhraya ? jalan kampung ? atau ketika kita sedang melintasi sebuah kawasan sekolah ?

Lihatlah dahulu di mana kita berada dan bawalah Islam itu dengan kawalan diri yang baik kerana andainya kata berlaku kemalangan maka bukanlah kereta itu yang salah tetapi pemandunya.

Belajar Islam dan dakwah dari cara pemanduan kereta.

Khalifah Umar ra pernah bertanya kepada seorang sahabat yang bernama Ubai bin Ka'ab ra akan makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kembali kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”. Lalu Umar menjawab : “Aku melangkah dengan cermat dan berhati-hati”. Maka Ubai membalas : “Itulah yang dimaksudkan dengan taqwa.”

Membawa laju bukanlah pula bermakna tidak bertaqwa

Kelajuan jika kena pada jalan dan waktunya maka ianya adalah satu tindakan yang digalakkan. Bukan sahaja boleh menjimatkan masa bahkan dapat membantu mengurangkan kesesakan jalanraya.

Namun kita semua mengetahui bahawa semakin laju kereta yang dibawa maka semakin sukar untuk mengawal dan mengendalikannya. Khususnya di jalan yang licin, berbukit dan berbengkang bengkok maka kelajuan itu boleh membunuh.

Membawa laju di tempat yang salah boleh menyebabkan kereta terbabas, melanggar kereta lain dan mencetuskan pelbagai bahaya dan kerosakkan kepada kereta jika tidak berhati-hati.

Maka berhati-hati itu ialah taqwa.

Diperlukan oleh setiap pemandu untuk memilikinya setiap masa.

Lalu bagaimana ? harus perlahankah atau membawa laju ? Maka ianya berbalik kepada pengalaman dan kepandaian membawa kereta. Ilmu diperlukan untuk memastikan perjalanan dapat dibuat dengan selamat.

Ilmu itu bukan sekadar teori pemanduan di dalam buku tetapi praktikel kehidupan yang terhasil daripada pengalaman dan pengamatan.

Kefaqihan itu ternyata sebuah anugerah

Nabi salallahualaihiwassalam bersabda : “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT akan kebaikan kepadanya maka dia akan difahamkan berkenaan urusan agama .” (hadis sahih riwayat bukhari dan Muslim)

Jika masih tidak pandai juga mengendalikan gear maka saranan saya cukuplah anda membawa kereta yang bertransmisi automatik iaitu menjadi pengikut dan bukannya orang yang diikut serta menjadi makmum dan bukannya Imam.

Dan jika anda seorang makmum maka carilah pemandu atau Imam yang pandai mengendalikan kereta dan menggunakan gearnya dengan baik. Kerana dikhuatiri bukan sahaja kereta yang anda naiki itu akan rosak di tengah jalan sebaliknya nyawa anda pun mungkin melayang akibat kegagalan pemandu atau pendakwah yang diikuti oleh anda itu dalam mengawal keretanya.

Kerana biarlah apa jua jenama pun sesebuah kereta itu ia tetap akan menjadi tidak bermakna apabila ianya tidak dapat bergerak kerana rosak atau kerana pemandunya tidak pandai memandu.

Wallahua’lam.


p/s : kempen mengelak kemalangan dalam dakwah, agar tiada yang terkandas menuju Allah SWT




http://ibnufathani.blogspot.com/search/label/Tazkirah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...