Pages

Ads 468x60px

Wednesday, October 5, 2011

BOLEHKE PAKAI SELUAR PANJANG??

1. Menurut Syeikh ‘Atiyyah Soqr rahimahullah [Mantan Pengerusi Lujnah Fatwa Al-Azhar Al-Syarif] : “Sebenarnya. Pada dasarnya seluar panjang itu lebih kemas menutup aurat lelaki dan perempuan, dan tidak ada aib cela seluar panjang yang dipakai mereka sekarang ini, cuma bagi perempuan pula ia menonjolkan dan memperlihatkan anggota badan dan punggungnya dengan rupa yang menggiurkan sekalipun tidak berwarna-warni yang mengundang perhatian. Kalaulah seluar perempuan itu berwarna-warni tetapi ia meletakkan pula diluarnya kain lain yang menutupi anggota-anggota yang boleh menimbulkan fitnah di samping menghalang bentuk rupanya (dari dilihat dan diketahui orang lain) maka sudah tentu hukumnya tidak mengapa.” [Mausu’ah al-Usrah tahta Ri’ayah al-Islam, m.s. 99]



2. Menurut Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili hafizahullah dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah m.s. 191 ketika ditanya tentang hukum; “Adakah perempuan harus memakai seluar panjang?.” Ia menjawab hukumnya; “Haram bagi perempuan memakai seluar panjang kerana ia ketat (sempit) yang boleh menampakkan susuk tubuhnya (yang membawa kepada fitnah) dan juga kerana ia menyerupai lelaki dan Allah melaknat perempuan-perempuan yang menyerupai lelaki. Tetapi jika perempuan itu memakai baju yang (longgar) menutupi di atas seluar itu (baju atau jubah) sehingga sampai bawah dari paras lutut maka diharuskan kerana ’illat pengharaman itu sudah tiada ketika ini.” [Fatawa Mu’asirah, m.s. 191]





3. Menurut Syeikh Ismail Usman Zain al-Yamani al-Makki rahimahullah (Ulama’ Besar Mazhab al-Syafi’e di Tanah Suci Mekah al-Mukarramah) ketika ditanya tentang hukum wanita memakai seluar panjang;



Soal : Apakah pendapat kamu terhadap wanita yang memakai seluar panjang dan juga memakai baju yang labuh di atasnya sehinga sampai ke paras lutut dan seluar panjang tadi hanya boleh dilihat bahagian bawahnya saja, adakah ia termasuk dalam ertikata haram seorang wanita memakai pakaian lelaki atau sebaliknya.?



Jawap : Pakaian seperti ini tidak haram ke atas wanita memakainya selagi pakaian itu tidak jarang ataupun ketat yang boleh menampakkan susuk tubuhnya yang cantik kerana yang demikian termasuk dalam hadis “berpakaian tetapi bertelanjang” kerana ia bukan dikhususkan kepada lelaki sahaja, tetapi haram ia membuka auratnya atau separuh daripada auratnya di depan lelaki ajnabi. [Qurratul ‘Ain, m.s. 233]



Mereka (muslimat) diharuskan untuk memakai seluar panjang tetapi mestilah mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh syariat Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah, selagi mana kita tetap berpegang dengan keduanya, maka kita tidak akan sesat sampai bila-bila. Inilah pusaka peninggalan baginda Nabi Muhammad s.a.w. kepada umatnya hingga akhir zaman. Oleh itu, kita dapati daripada pandangan ulama’ tersebut di atas tentang kaedah pemakaian mengikut hukum syariat bagi perempuan yang ingin memakai seluar panjang, seperti berikut :





a. Pakaian itu mestilah yang menutupi anggota-anggota yang boleh menimbulkan fitnah, ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t. :

إلا ما ظهر منها



“..melainkan apa yang zahir daripadanya.” [surah an-Nur ayat 31]

Ditafsirkan oleh ulama’ kecuali muka dan kedua tapak tangan bukanlah aurat. Ini bererti perempuan yang memakai seluar panjang mestilah menutupi seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tangan (sehingga pergelangan).





b. Pakaian tersebut juga mestilah yang boleh menghalang bentuk rupanya daripada dilihat dan diketahui orang lain yang jenis longgar dan tidak ketat dipakai yang boleh menampakkan susuk tubuhnya yang cantik kerana yang demikian berdasarkan hadis nabi s.a.w. :

عن أسامة بن زيد رضى الله عنهما قال كسانى رسول الله قبطية كثيفة كانت مما



أهدى له دحية الكلبى فكسوتها امرأتى

فقال لى رسول الله صلى الله عليه وسلم : " مرها أن تجعل تحتها غلالة ، فإنى أخاف أن تصف حجم عظامها .

( رواه أحمد ) . والغلالة شعار يلبس تحت الثواب



Sayyidina Usamah bin Zaid r.a. telah berkata; baginda Rasulullah s.a.w. telah memakaikan kepadaku sejenis pakaian yang tebal di mana pakaian itu ialah hadiah daripada Sayyidina Dihyah al-Kalbi r.a. kepada baginda. Kemudian daku pakaikan itu pada isteriku. Baginda terus bersabda : “Suruhlah isterimu mengenakan pakaian lain di sebelah dalam kerana saya khuatir pakaian yang ku hadiahi tadi menonjolkan bentuk rangka atau tubuhnya.” [riwayat Ahmad hadis no : 21845].



Maksud al-Ghilalah : sejenis kain selimut yang dipakai di sebelah dalam pakaian.



c. Memakai baju yang menutupi di atas seluar itu (baju atau jubah) sehingga sampai bawah dari paras lutut maka diharuskan kerana ’illat (sebab) pengharaman itu sudah tiada ketika ini.





d. Pakaian itu tidak jarang atau nipis sehingga menampakkan warna kulit dan rambutnya, ini termasuk larangan dari sabda Nabi s.a.w. :

ونساء كاسيات عاريات



“..segolongan perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang..” [riwayat muslim hadis no : 2128]



Imam Nawawi rahimahullah mentafsirkan di dalam syarah Sahih Muslim, juz 14, m.s. 110 tentang maksud berpakaian tetapi telanjang dengan tiga tafsiran berikut :



- Memakai nikmat Allah tetapi telanjang daripada mensyukurinya (tidak mensyukurinya).



- Menutupi sebahagian badan dan membuka sebahagian yang lain untuk memperlihatkannya kepada orang lain.



- Memakai pakaian nipis yang memperlihatkan warna badannya.



Justeru itu, sudah terang lagi bersuluh berdasarkan suluhan ilahi (al-Quran dan as-Sunnah) bagi kita mengenal pasti apakah hukum yang ditetapkan oleh syara’ terhadap perempuan yang suka dan ingin untuk memakai seluar panjang dalam kehidupan yang serba moden ini. Ini menunjukkan keistimewaan dan keindahan yang ada dalam ajaran Islam, yang tidak terdapat dalam ajaran lain selain Islam. Islam tetap menjaga maslahah ummah bagi mengelak dari berlakunya perkara yang diharamkan dalam Islam. Islam tidaklah begitu jumud sebagai yang didakwa sesetengah mereka yang kurang kefahaman agama. Sebab itu, dalam kaedah fiqh ada menyebut ‘berubahnya hukum mengikut perubahan zaman’. Begitu juga, salah satu sifat khusus Islam adalah bersifat waqi’eyyah. Bermaksud ajaran Islam adalah sesuai mengikut suasana dan tempat. Sebagai contoh; Islam mewajibkan penutupan aurat, tetapi cara penutupannya mengikut kesesuaian tempat dan suasana di mana seseorang muslim itu berada.





Sabda Rasulullah s.a.w. :

المرأة عورة فإذا خرجت استشرفها الشيطان

Maksudnya : “Perempuan itu aurat, apabila ia keluar maka syaitan bergegas menumpukan perhatiannya (untuk memperdayakannya).” [riwayat at-Tirmizi katanya hadis hasan sahih, riwayat Ibnu Hibban].



Kuliah dari Ustaz Aminudin Haji abdul Rahim....

SUMBER;FACEBOOK

0 fikr:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...