Pages

Ads 468x60px

Wednesday, September 21, 2011

Cerpen: Izinkan Aku Membimbingmu..


"Jadi kita akhiri halaqoh kita malam ini dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-Asr," kata pengerusi majlis, mengakhiri sesi halaqoh malam itu.

Halaqoh malam itu berakhir jam 2.30 pagi. Agak lambat. Banyak perkara yang dibincangkan. Abu Mus'ab si murobbi menjawab banyak persoalan yang diajukan oleh keempat-empat anak halaqohnya.

Setelah bersalam-salaman, mereka lalu beransur pulang. Tiba-tiba salah seorang anak halaqoh Abu Mus'ab mendekatinya.

"Akh, ana nak bincang sesuatu dengan antum. Boleh kita bercakap sekejap?" Pinta Falah.

Abu Mus'ab agak berkira-kira. Perancangan asalnya adalah terus kembali ke biliknya untuk menyiapkan assignment yang perlu diserahkan pada esok hari. Namun segera dia teringat sebuah ungkapan oleh Fathi Yakan dalam bukunya : Al-Isti'ab - Meningkatkan Kapasitas Rekrutmen Dakwah.



Fathi Yakan mengungkapkan bahawa :

Dalam membimbing manusia kepada kebenaran, kesabaran yang tinggi diperlukan. Kerana masyarakat memiliki ragam yang pelbagai. Ada yang menganggap tiada yang lebih penting daripada kepentingan peribadinya. Orang seperti ini terkadang tidak akan berpuas hati sehingga menemui si Da'i untuk menceritakan masalahnya, tanpa memperdulikan masa dan kondisi si Da'i. Mungkin dia akan menemui tatkala kita sedang makan, ataupun ketika kita sedang tidur untuk beristirehat. Semua ini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk tetap terus membimbingnya dengan baik.

Kerana seorang Da'i yang sebenar adalah Da'i yang hidup untuk orang lain dan bukan untuk dirinya sendiri, berusaha untuk membahagiakan orang lain meskipun harus mengorbankan kebahagiaan peribadi. Semua itu dilakukan dengan sebuah keyakinan bahawa apa yang dilakukannya akan membuahkan keimanan di hati mad'unya, dan yakin bahawa apa yang diusahakannya akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT pada hari hisab.


'Apalah sangat assignment aku tu nak dibandingkan dengan membimbing Falah. Mungkin masalah dia ni penting. Insya-Allah urusan itu akan dipermudahkan. Siapa yang membantu menegakkan agama Allah, nescaya Allah akan membantunya dan meneguhkan kedudukannya.' Getus hati Abu Mus'ab.

"Em, boleh je. Jom kita bincang kat bilik antum. Lagipun dah lama ana tak ziarah bilik antum."

Lalu mereka beriringan ke bilik Falah, yang terletak beberapa meter daripada surau kolej tempat mereka mengadakan halaqoh. Setibanya di bilik,

"Alah, Richard tidurla. Kita bincang dalam gelap je la, boleh akh?" Falah keberatan untuk membuka lampu kerana khuatir mengganggu roomatenya yang sedang tidur.

"Boleh je, ana tak kisah."

Lalu mereka bergerak ke arah katil dan duduk bersebelahan. Falah menuangkan air masak ke dalam cawan dan mempelawa Abu Mus'ab untuk minum. Lalu Falah membuka ceritanya.

"Sebenarnya akh, ana dah tawar hati nak ikut halaqoh lagi. Ana rasa halaqoh tak dapat membantu ana. Bukannya ana kata antum tak bagus. Ana nampak tujuan antum nak bawa ana kembali pada Allah, ajar baca quran, jaga subuh dan dirikan tahajjud. Semua tu bagus. Tapi ana rasa ana dah tak boleh berubah. Yang ana rasa mampu ubah ana hanyalah kawan ana masa di sekolah dulu. Hazim. Dia je yang faham perasaan ana. Dia yang bantu ana untuk tinggalkan zaman jahiliyah ana. Dia je yang sanggup layan semua karenah ana. Dulu ana bukannya orang baik-baik. Semua kawan-kawan benci. Sampai ana takde kawan pun. Dia seorang je yang selalu dampingi ana. Tapi sekarang dia dah takde. Jadi ana rasa ana akan kembali kepada jahiliyyah semula. Parent ana pun tak dapat tolong ana. Selama ni diorang hanya bagi ana duit untuk makan je."


Abu Mus'ab meneguk air, lalu meletakkan cawan ke atas meja.

"Kawan antum tu dah takde, maksud antum...?"

"Dia ada, cuma dia takde kat sini la. Dia dah fly ke oversea. Dia dapat tawaran medic kat Mesir. JPA. Bukanlah dia dah takde langsung."

"Owh, ana ingat apa-apa dah jadi pada dia. Jadi antum selama ni memang bergantung harap pada dia je ke?"

"Boleh kata macam tu lah. Ana tak kesah apa orang lain kata, asalkan dia bahagia. Kalau dia suruh ana buat apa pun ana sanggup. Boleh kata ana masih nak teruskan hidup lagipun sebab dia. Ana memang pernah terfikir taknak hidup lagi dah sebab dia nak fly ke Mesir tu. Tapi fikir-fikir balik, orang yang bunuh diri ni mati masuk neraka selama-lamanya, tak jadi fikir lagi."

'Mak aih, dahsyat betul dia nih. Nampaknya Hazim tu amat penting dalam hidup dia. Tapi sayang, dia tak meletakkan prioriti yang betul dalam hidupnya. Ya-Allah, berilah aku kekuatan untuk membantunya.' Detik hati Abu Mus'ab, sambil berharap bantuan kepada Allah.

"Dia mesti seorang yang penyabar kan? Susah nak jumpa kawan yang baik macam dia. Ana pun kagum dengan kesabaran miliknya. Harap Allah beri ana kekuatan untuk jadi penyabar dan perihatin seperti Hazim. Bila dia fly?"

"Minggu lepas."

Abu Mus'ab jadi mengerti. Falah kelihatan amat muram ketika ditemui di Cafe. Tidak ceria seperti selalunya. Dan ketika halaqoh tadi, Falah amat pasif. Tidak banyak bercakap dan mengambil bahagian dalam perbincangan.


"Mesti sedih kan kawan yang kita sayang dah tak bersama kita. Tapi antum masih boleh call dia, chat ke. Sekarang ni dunia dah canggih, senang je nak berhubung. Kalau orang dulu-dulu tu kena buat isyarat asaplah, hantar burunglah, hantar nota dalam botol lepas tu campak kat laut lah. Kesian diorang."

"Hahaha..antum ni. Ade ke orang wat macam tu dulu? Tapi akh, bukan senang nak contact lagi. Mahal pulak tu."

"Betul tu. Orang yang kita sayang, takkan selamanya berada di sisi kita. Kelak dia akan pergi juga. Kalau ditakdirkan Allah mengambil nyawanya, dia tetap akan pergi. Dan kita takkan mampu terus bertahan jika kita bergantung kepada apa-apa yang tidak kekal."

"Maksud antum?"

"Maksud ana, jika kita bergantung harap kepada makhluk, kita tidak akan mampu bertahan selamanya. Kita kena ada tempat bergantung harap yang lebih kukuh. Kepada pencipta makhluk. Al-Kholiq."

"Maksudnya kita kena bergantung kepada Allah? Tapi akh, ana tak dapat rasa yang Allah membantu ana. Selama ni yang memberi perhatian, kasih-sayang, dan segala harapan pada ana, rasanya Hazim je. Dia la manusia paling baik yang ana pernah jumpa."

Abu Mus'ab mencapai cawan di atas meja dan meneguk air masak itu. Kemudian dia menghela nafas, lalu meneruskan.

"Memang selama ni kita dapat lihat yang memberi sinar dalam hidup antum tu kelihatannya Hazim. Tapi sedar tak kita, siapa sebenarnya di sebalik ini semua?"

Falah terdiam berfikir.

"Siapa sebenarnya yang mengaturkan antum akan satu sekolah dengan Hazim?" Abu Mus'ab melontarkan persoalan.

Falah ingin menjawab itu semua suatu kebetulan. Tetapi teringat akan kata-kata Abu Mus'ab dalam halaqoh yang lepas,

"Tiada kebetulan yang berlaku di dunia ini. Semuanya telah ditetapkan oleh Allah. Dalam berjuta-juta pelajar SPM 2007, hanya 500 orang sahaja yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran di universiti ini. Dan di antara 500 orang itu, hanya antum berlima sahaja yang kemudiannya terpanggil untuk hadir ke halaqoh malam ini. Kalau kita kita kebarangkalian ini akan berlaku, agak-agak berapa Falah?"

"Hurm, kalau kira-kira macam (500/1,000,000)X(5/500)=0.00005 je. Macam tak mungkin kebetulan je."

"Betul tu. Tu belum kira lagi kebarangkalian kita lahir ke dunia ni."

"Hah, tu lagi tak dapat kira. Kita adalah 1 daripada beribu juta sperma ayah kita yang bergabung dengan ovum ibu kita. Kebarangkaliannya :(1/10000000000000...) er, brapa kosong ek? Alah, senang kira 1/infiniti, kosong!" Paan mencelah.

"Tepat sekali. Pandai betul ikhwah-ikhwah halaqoh ana semester ni mengira. Ni kalau amek Probability & Statistic mesti score nih! Haa..macam Paan cakap tadi, kesimpulannya, ia bukan suatu kebetulan. Ia pasti sebuah perencanaan. Siapa lagi kalau bukan Allah yang mangaturnya. Semua itu telah tertulis di lauh mahfuz, seperti firmanNya :

Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).
[6:59]

Falah lalu dengan yakin menjawab, "Allah".

"Jadi sebenarnya Allahlah yang mahukan Falah bertemu dengan Hazim. Dan kenapa Hazim yang kemudiaannya mampu membantu Falah untuk melepasi pelbagai ujian dan cabaran? Yang memberi sinar harapan untuk Falah meneruskan kehidupan? Kenapa bukan orang lain? Boleh je kalau Allah nak Idham kawan antum tu yang berperanan sebagai Hazim, kan?" Abu Mus'ab kembali bertanya

"Em, sebab Allah yang tetapkan macam tu.." Falah menjawab ringkas.

"Jadi kalau kita selidik semula, sebenarnya siapa yang mahu Falah dibantu, dibimbing, dan ditolong?"

"Allah.."

"Siapa pula sebenarnya yang mahu Falah bahagia, merasakan ada sinar harapan dalam hidup, yang membuatkan Falah merasa dihargai dan disayangi?"

"Allah.."

"Jadi ana nak tanya, selama ni siapa yang sebenarnya menyayangi, mencintai dan membuatkan antum terus hidup hingga saat ini?"

"Allah..."




"Jadi, sepatutnya selama ini antum berubah sepatutnya kerana Allah. Kerana dialah yang memberikan kita segala-galanya yang kita ada sekarang. Badan, kaki, tangan, kepala, nyawa, bahkan perasaan yang kita milikipun sebenarnya pemberian Allah kepada kita. Allah sayang sangat pada kita akh. Kita je yang terkadang melupakanNya. Kita yang menjauhiNya."

Falah menitiskan air mata sulungnya. Bukanlah bermakna itulah pertama kalinya dia menangis, tetapi pertama kali dia menangis atas tujuan yang benar. Merasakan bahawa selama ini Allah cukup baik kepadanya. Dia menyedari yang segala apa yang ada pada dirinya di saat ini bukanlah miliknya, tetapi milik Allah.

Allahlah yang menghidupinya hingga ke saat ini.

Allahlah yang membuatkan dia tertawa, menangis, gembira dan bahagia selama ini.

Allahlah yang memberikan kepadanya segala-galanya.

Dan kini dia memahami bahawa segala yang dilakukannya perlulah dilandaskan untuk Allah. Bukan kerana makhluk Allah yang bernama Hazim. Dia malu akan pengangannya selama ini.

"Jazakumullah Khair akh. Ana faham sekarang. Ana dapat rasakan apa yang perlu dilakukan sekarang. Hidup untuk Allah. Hidup untuk memenuhi tuntutan-tuntutan Allah. Ana akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi semua perintah Allah, dan berkorban untuk Allah sebagaimana ana dulu sanggup berkorban untuk Hazim." Ikrarnya.

"Jika kita cintakan bunga, bunga akan layu. Jika kita cintakan wang, wang akan habis. Jika kita cintakan manusia, manusia akan mati. Namun jika kita cintakan Allah, Allah akan kekal selama-lamanya. Dan tiada siapa yang akan merebut Allah daripada kita. Dan tiada siapa juga akan berkecil hati jika kita menjadikan Allah sebagai kekasih kita." Abu Mus'ab mengungkapkan sebuah madah.

"Betul tu akh. Semoga lepas ni Allah akan menjadi tujuan hidup ana. Doakan Akh."

"Insya-Allah"

Falah kemudiannya memeluk Abu Mus'ab sepenuh hati. Abu Mus'ab turut menjadi terharu atas kesedaran Falah. Hatinya bersyukur dan bertahmid memuji keagungan Allah. Hatinya berdoa :

'Ya-Allah, aku cintakan hambaMu ini Ya-Allah. Satukanlah hati-hati kami dalam jalan mencari redhaMu. Jadikanlah dia mujahid yang berjuang di jalanMu. Cintailah dia sebagaimana Kaumencintai para rasulmu. Jadikanlah dia mencintaiMu sebagaimana aku mencintaiMu, malah lebih lagi Ya-Allah. Ya-Allah...perkenankanlah...'


0 fikr:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...