Pages

Ads 468x60px

Friday, February 17, 2012

AWASI GOLONGAN CAMOUFLAGE DALAM JEMAAH ISLAM

-sekadar gambar hiasan-
Golongan munafiqin adalah musuh Islam dan musuh kepada orang-orang yang beriman. Malah ia juga musuh kepada Gerakan Islam dan ia dikenali sebagai musuh dalam selimut. Ia menjadi musuh kerana sifatnya menjadi gunting dalam lipatan, api dalam sekam, duri dalam daging, talam dua muka, gergaji dua mata, lidah dua bercabang, seperti sesumpah atau dalam bahasa Arabnya ia mudah dikenali sebagai munafiq. Perkataan - 'NAFAQ' - di dalam bahasa Arab memberikan maksud terowong (tunnel).

Menurut pandangan beberapa ulama yang menumpukan seluruh tenaganya terhadap Ilmu Sirah dan perjalanan Para Anbiya', golongan munafiq tidak wujud kecuali setelah zaman Kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Orang munafiq disifatkan di dalam Islam sebagai manusia yang memiliki sikap penuh dengan kepura-puraan. Ia juga tergolong dari golongan opurtunis yang licik mengambil kesempatan untuk menikam dari arah belakang, mencetus propaganda dari dalam .

Golongan ini menjadi ancaman kepada Gerakan Islam di sepanjang zaman. Nabi S.A.W pernah memberikan peringatan kepada umatnya yang berjuang tentang kewujudan makhluk ini sebagaimana maksudnya,
"Sesungguhnya suatu yang paling ditakuti terhadap apa yang aku takut menimpa ummatku ialah semua munafiqin yang petah lidahnya".

Orang munafiq petah menatah bicara dan mengemukakan alasan guna mewajarkan apa jua tindakan mereka. Sesekali mereka menampilkan diri melalui perwatakan yang meyakinkan bahawa mereka adalah pejuang yang tulen dan berhak dihormati serta disanjungi. Sedang segalanya adalah palsu dan hipokrit.

Memang sukar untuk mengenali identiti golongan munafiq terutama mereka yang telah duduk sebaris dalam satu saff. Hanya Allah Taala yang mengetahui siapakah mereka di tengah-tengah kelompok para pejuang di sebalik kibaran panji perjuangan. Secara zahir , tidak siapa yang dapat membezakannya. Bahasa harakinya sama seperti kita, mereka turut memakai uniform seorang pejuang. Bahkan mereka juga mampu membaca kitab perjuangan kita. Tiada perbezaan antara kita dengan mereka tetapi juga tiada persamaan. Hanya Allah jua Tuhan Yang Maha Mengetahui di manakah posisi mereka antara pejuang Ansoorullah dengan petualang Munafiqin di tengah-tengah umat.

Secara asasnya, Al Quran dan Sunnah telah manggariskan ciri-ciri atau kriteria untuk mengenali golongan munafiq ini. Antaranya :

A ] Berpaling dari melaksanakan hukum Allah [ An Nisa':60-61 ]
"Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu".
B ] Jahat adabnya terhadap Allah dan Rasul SAW [ Al Munafiqun:5 ]

"Dan apabila dikatakan kepada mereka,Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu. Mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh".

[At Taubah : 61 ]

"Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya). Katakanlah, dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang Mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya".


C ] Wala' (kesetiaan) mereka kepada musuh Allah Taala [ Al Hasyar:11 ]

"Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab,“Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!” Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta".

D ] Negatif terhadap jihad [ Aali Imran:167 ]

"Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan dikatakan kepada mereka,“Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)”. Mereka menjawab,“Kalaulah kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu (turut berperang)”. Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan".

E ] Melakukan Mungkar dan menghalang perkara makruf [ At Taubah:67 ]

"Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik".

F ] Matlamat mereka ialah kepentingan mereka bukan redha Allah, dan hati mereka sering berbolak-balik. [ Al Hajj:11 ]

"Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata".

G ] Buruk akhlaknya terhadap anggota Gerakan Islam. [ Al Ahzab:57-58 ]


"Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredhai Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata".


Kepura-puraan mereka telah dijelaskan oleh Al Quran dan ia sangat mengelirukan. Nyatalah mereka bijak bersandiwara, petah berkata-kata, tajam berhujjah dan pintar membuat helah. Antara ciri-ciri lain yang disebut di dalam Al Quran, mereka juga memiliki kriteria yang sama seperti orang-orang Islam yang lain :-

A ] Mereka melafazkan 2 kalimah syahadah [ al Munafiqun:1 ]

"Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata,“Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta".

B ] Isytihar keiltizaman mereka terhadap Quran dan Sunnah [ An Nisa':81 ]

 "Dan mereka (golongan munafik) berkata,“(Kami) taat”, kemudian apabila mereka keluar dari majlismu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan (kepadamu). Sedang Allah (perintahkan malaikat) menulis apa yang mereka rancangkan itu; maka berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka, (janganlah dihiraukan apa yang mereka rancangkan), serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah Allah menjadi Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka)".

C ] Mereka juga mengerjakan solat [ An Nisa':142 ]

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)".

D ] Mereka membaca Al Quran seperti yang diriwayatkan Abu Musa Al-Asy`ari RA, melalui sabda Baginda SAW yang bermaksud :

"Perumpamaan orang Mukmin yang membaca Al Quran adalah seperti buah utrujah, baunya harum dan rasanya enak. Perumpamaan orang Mukmin yang tidak membaca Al Quran adalah seperti buah kurma, tidak ada baunya namun rasanya manis. Perumpamaan orang munafik yang membaca Al Quran adalah seperti buah raihanah, baunya harum namun rasanya pahit. Sedangkan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al Quran adalah seperti buah peria, tidak ada bau sama sekali dan rasanya pahit".

E ] Bersedekah dan memberi derma [ At Taubah:54 ]

"Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci".

F ] Turut menghadiri majlis Ilmu [ Muhammad:16 ]

"Dan di antara mereka (yang hadir di majlismu wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaranmu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisimu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabatmu yang setia),“Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?” Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang yang menurut hawa nafsunya".


G ] Membina masjid [ At Taubah:107 ]

"Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata, Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta".

Menyedari situasi ini, kita tidak boleh memandang enteng kehadiran golongan munafiq. Mereka pada bila-bila masa akan memberi ancaman besar kepada perjuangan yang kita dokongi ini lantaran mereka berkeupayaan menyerang dari dalam secara halus tanpa disedari oleh sesiapa. Langkah berwaspada mesti diambil dan bertindak secara berpasukan adalah kewajipan. Pelihara segala adab berjamaah dan sentiasa bermunajat serta melazimi doa rabitah insya Allah, kita dan jamaah kita akan selamat.

Menghalang kewujudan golongan munafiqin ini terlalu sukar sebab terkadang ia lahir dari kalangan kita sendiri yang mewarisi sifat dan sikap mereka. Langkah yang perlu ialah mempertingkatkan proses pembinaan aqidah, fikrah dan syakhsiah di samping mengawal jamaah dari anasir munafiqin ini melalui pemerkasaan AMAL TARBAWI.

Perjuangan Islam ini suci dan ia tetap akan dipelihara oleh Allah, namun perlu ada kesungguhan dari setiap pimpinan dan anggota agar memastikan jamaah ini tidak menjadi sarang golongan munafiqin untuk mereka bermaharajalela melaksanakan agenda mereka .

Sudah cukup kejayaan mereka tatkala mereka berjaya meneutralkan, melakukan penyusupan, camouflage dalam semangat perjuangan Islam di kalangan anggotanya. Apa yang mereka mahu ialah melunturkan semangat jihad, mencetus kekeliruan di kalangan pimpinan jamaah, beriman dengan demokrasi dan membunuh konsep syura. Meleraikan roh kepimpinan ulama' dan mengadu domba agar wujud pertelingkahan dan persengketaan yang panjang dari kalangan anggota dan pimpinan jamaah.

Oleh : Ustaz Nasrudin Tantawi

0 fikr:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...